Wednesday, April 18, 2012

HUKM

Hari ini adalah hari ke 14 Eliza di HUKM. Hari ini adalah hari ke 6 post chemo. Keadaaan Eliza tidak berapa stabil akibat kesan selepas chemo. Harap segalanya berjalan lancar dan tidak ada infection. Sabtu lepas, kakak ipar saya melawat Eliza di hospital.

Saya juga meluangkan masa melawat anak Wati dan Amin di Ampang. saya ucapkan terimakasih pada yang memberi sokongan moral pada Eliza.

Minggu ini, minggu yang sukar. Kehidupan mesti diteruskan.

Salam.

Tuesday, April 10, 2012

Cuti Sekolah Dan Cabut Pokok Kacang Tanah

Cuti sekolah memang masa yang di tunggu-tunggu, terutamanya cuti bulan Disember. Lama sikit, hampir dua bulan. Semasa zaman persekolahan saya sekitar tahun 1975- 1985, saya tinggal di Perak dan bersekolah di Tapah.

Kawasan ini adalah kawasan yang baru dibangunkan oleh kerajaan terutamanya bagi menempatkan pengganas kominis yang telah meletakkan senjata. Oleh yang demikian banyaklah kampung-kampung baru diwujudkan.

Kebanyakan penduduk yang majaroti tinggal di pekan ini adalah orang berbangsa Cina manakala kawasan kampung sedia ada didiami oleh kaum Melayu. Rata-rata aktiviti ekonomi adalah perladangan.

Baru- baru ini semasa dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bersama pemandu saya, saya teringat akan kisah zaman cuti sekolah saya. dan saya pun bertanya pada beliau, pernah kah beliau makan kacang, jawabnya, ya. saya tanya lagi, pernahkah awak tengok pokok kacang tanah? jawabnya - tak pernah.

Saya pun terus bercerita akan pengalaman saya berkenaan kacang tanah ini.

Lazimnya, tauke-tauke ladang di tempat saya tinggal ini akan menanam pokok sawit. Akan tetapi hasil sawil hanya akan diperolehi setelah beberapa tahun. Oleh yang demikian tanah kosong disekitar ladang sawit ini akan di tanam dengan pokok kacang tanah untuk menjana hasil sementara menanti hasil sawit.


Ladang kelapa sawit dengantanah kosong

Kedudukan ladang sawit ini biasanya sekitar 2 batu perjalanan dari jalan besar. kadangkala hingga 6 batu dari jalan utama.

Alkisahnya, kawasan yang kami diami ada 3 kampung, Kg Baru air Kuning, Kg Baru Cina dan Kg Jawa. Dan tentunya tauke ladang sawit adalah kaum Cina. Bermula cuti sekolah, tauke ladang sawit ini akan maklumkan ketua Kg Baru dan Kg Jawa bila ladang sawit yang ditanam dengan kacang tanah ini akan dituai hasilnya.

Ketua kampung akan maklumkan pada anak buah dikampung masing-masing. Biasanya musim cuti sekolah ini rata-rata sentiasa ada aktiviti menuai kacang sehingga musim persekolahan bermula. Mahu atau tidak saja. Kalau malas tak ada wang saku. Tapi biasanya anak-anak, muda-mudi, makcik pakcik, balu atau janda semuanya akan turun menuai kacang.

Ladang Kacang Tanah

Sehari sebelum keladang, semuanya bersiap sedia dengan basikal. dan memastikan dalam keadaaan baik. Maklumlah, kalau dah menjelajah kehutan yang jaraknya 2 batu (3.2km) kalau basikal rosak akan jadi masalah besar. Kena usung basikal baik ke pekan. Lampu suluh adalah perkara wajib kerana biasanya gerombolan orang kampung ini akan bertolak ke ladang lebih kurang jam 5.30am atau selewatnya jam 6.00am.

Ini bagi mengelakkan bekerja di bawah matahari terik. Biasanya kerja menuai ini akan tamat jam 11.00am atau 12.00 pm. Gerombolan orang dari dua kampung ini akan datang dari dua arah, selatan untuk dari Kg Jawa, utara untuk dari Kg Baru. Kumpulan dari Kg Jawa memang diketahui oleh kami sebagai orang yang rajin dan tangkas bekerja. Kalau mereka sampai dulu maknanya bahagian yang kami hendak tuai akan jadi sedikit. Mereka amat cepat dan tangkas buat kerja ladang. Jadi kami mesti pastikan kumpulan kami yang sampai dulu ke ladang.

Bekalan air mesti mencukupi kerana tiada sumber air bersih di ladang kecuali air sungai. Nasi yang siap dibungkus mesti mencukupi dan tak basi. Topi, dan baju lengan panjang perkara yang wajib takut kulit dimakan cahaya matahari terik

Sesampai ke ladang kami terus bekerja menuai pokok kacang lalu kami longgokan pada beberapa tempat dan di tanda dengan barangan peribadai seperti botol air, basikal, baju dan sebagainya.


<><>
<>
<><>
Basikal Tua

Semua yang terlibat begitu tekun kerana mengejar masa sebelum matahari terbit. Kadangkala kami sekeluarga akan berada di ladang kacang termasuk ibu saya. Walaupun bapa saya seorang anggota polis berpangkat OCS pada ketika itu, kami tak dapat apa keistemewaan. Pendek kata, cuti sekolah tak ada duit belanja. Kalau hendak duit belanja pergi cari sendiri di ladang Cina. dalam ertikata lain, pergi kerja cari duit. Biasanya sekitar jam 11.00am kerja menuai dah tamat, dan kini masanya untyuk menjual hasil tuaian kepada tauke empunya ladang. Tapi tak semestinya kami boleh pulang, barangsiapa yang ingin meneruskan kerja menuai boleh teruskan sampai ke petang.

Saya berusia 44 tahun sekarang, saya sedar betapa susahnya ibu tunggal, balu dan orang kampung yang tak mempunyai tanah sendiri mencari wang. Mereka memang menanti saat ini. Bagi mereka, inilah rezeki tambahan dan mungkin juga lumayan. tauke Cina biasanya membeli tuaian kacang ini dengan sukatan 'tong minyak tanah'. Satu tong penuh kacang tanah yang telah diasingkan dari tanah dan pasir biasanya di beli dengan harga RM0.80sen setong. Kalau rajin, saya sendiri akan dapat dalam 6 tong sehari. Maknya saya ada duit belanja sebanyak RM4.80.

Memandangkan ladang sawit yang ditanam pokok kacang ini sangat luas. Kadang kadang sehingga 30 ekar. maka khidmat traktor kepunyaan tauke Cina ini diperlukan. Hendak mengangkat hasil tuaian ini oleh orang muda pun tak terdaya, apatah lagi makci dan pakcik yang dah berusia emas.

Setelah disukat dalam tong minyak tanah, tauke Cina buat bayaran tunai. Kadangkala kami juga bernasib baik. Harga kacang tanah yang di tuai ini tak menentu. Semuanya, ditentukan oleh tauke. Kadangkala boleh jadi RM1.40 setong. Kadang kala boleh jadi RM0.60 setong.

Yang lawaknya, harga boleh dibincang dengan tauke selepas hasil kacang dituai. Adakalanya setelah dituai tetapi harga yang ditawarkan oleh tauke tak dipersetujui maka kami tak menjual hasil itu. Saya pun hairan, Ladang tauke punya, kacang tauke punya, traktor tauke punya, hasil tauke punya tapi bila kita tuai kita pula tak mahu jual pada tuan punya ladang.!!! Tauke pun tak berani buat apa-apa, akhirnya tauke akan setuju dengan harga kami. Itulah kekuatan bila orang Melayu bersatu.

Menuai hasil tanaman kacang ini akan berlarutan sehingga awal Januari sehingga musim cuti sekolah yang baru. Kadangkala hing penghujung Januari. Tapi aktiviti ini biasanya akan dilakukan oleh orang kampung. Anak-anak yang kesekolah tak mengambil bahagian lagi.

Bila ada duit belanja yang lebih sebelum berakhirnya disember, biasanya kami akan ke pekan Kampar untuk membeli belah. Pekan Kampar adalah pekan yang paling besar dan paling hampir dengan tempat kami tinggal. kami akan membeli peralatan sekolah dan pakaian dari wang hasil tani di sebuah pusat beli belah dikampar - Emporium (saya diberitahu Emporium sudah terbakar).

Kami biasanya kesana kerana ingin menaiki eskalator, kerana hanya Emporium saja yang ada eskalator pada waktu itu. Itupun hanya satu eskalator untuk naik keatas, menurun kena gunakan tangga. Panjang ceritanya.......

Saya akan sambung lagi kisah dan pengalaman saya

Monday, April 2, 2012

Masa Yang Sukar

Hampir sebulan tak mencoret di laman ini. Alhamdulillah diberi kesihatan yang baik. Semuanya dalam keadaan baik. Dengan izin tuhan masih dapat menghirup udara segar.

Marissa dan Mayra sehat sejahtera. Tapi Mayra ada sedikit nakal, suka menangis malam tanpa sebab. Siang hari tidur nyenyak. Pembantu yang dihantar pula tak senonoh. merokok dalam rumah sehingga memaksa saya hantar pulang. Tokeh rumah pun tak merokok dalam rumah. Mungkin dia mohon untuk jadi GRO di pub, agen hantar jadi pembantu rumah.

Nini naik pening mengurus Marissa ke sekolah manakala Mayra nak kena bawak juga dalam kereta. Tudung kepala boleh jadi tunggang terbalik.

Meanwhile, Eliza pun discaj dari Pantai Hospital. Sekarang dah berada dirumah. Dua hari selepas discaj, Eliza datang ke Melaka. Walaupun dia dalam keadaan tak berapa sehat, dia nak juga datang ke Melaka. Sampai Melaka keadaan masih tak selesa. Eliza admit semula di Pantai Melaka untuk transfuse darah satu malam. The next daya saya hantar semula pulang ke Petaling Jaya.

Dato Dr Shanker dan lain-lain kawan Dr cuba membantu untuk Eliza segera di masukkan ke wad di HUKM. Malangnya katil tidak ada. Kami terpaksa menunggu sehingga hari ini. Semua ahli keluarga berdoa agar Eliza dapat meneruskan rawatan lanjutan segera. Semua sedia maklum Eliza perlu rawatan lanjut. Kami sama sama berdoa. Eliza bagaimanapun berada dalam penuh semangat dan positif walaupun cepat berasa letih.

Seperti biasa setiap weekend saya akan pulang ke Petaling Jaya. Saya berharap agar dapat berita dari HUKM ada katil kosong untuk Eliza. Tapi hampa. Hari ini April 02, 2012, masih tidak ada berita lagi dari HUKM, tapi Dato Shanker sudah maklumkan agar ke HUKM hari ini untuk buat full blood count persiapan untuk rawatan lanjut walaupun wad tidak ada yang kosong.

Sememangnya HUKM agak jauh dari Petaling Jaya. saya cuba memikirkan bagaimana nak aturkan siapa yang akan temani Eliza di HUKM nanti, Saya di Melaka.!!!

Walau apa pun, saya sangat gembira. Eliza berselera makan, walaupun tak seperti biasa. Eliza masih berkomunikasi melalui telefon. Segalanya masih seperti biasa. Eliza tahu yang rawatan lanjut amat toksik. Eliza bersedia dengan penuh positif. Saya berdoa kepada Allah swt agar segalanya berjalan lancar dan Eliza kembali sehat dengan segera.

Hari ini dah setahun genap, kami dimaklumkan yang Eliza di diagnos menghidap Leukimia.

Wassalam.