Thursday, May 3, 2012

Eliza Haslinda Alias 1971-2012 - Part 1



Dalam Kenangan 1971-2012
Salam Sejahtera, tanggal April 24, 2012 jam 10 malam isteri saya, Eliza Haslinda Binti Alias telah pulang ke Rahmatullah setelah 1 tahun 20 hari menghidap leukima (Acute Mayleod Leukimia). Allahyarhamah berusia 41 tahun.

Semua ahli keluarga saya memang amat terasa akan kehilangan Allahyarhamah Eliza sehingga saat ini. Segalanya seakan terasa masih baru. Semua sudut yang dipandang seolah beliau masih ada disisi.

Saya telah mendirikan rumahtangga dengan Eliza selama 15 tahun. Memang sukar bagi saya untuk menukar rutin hidup dalam sekelip mata, apatah lagi kaum keluarga Eliza di Kelana Jaya.

Bagi para sahabat, teman dan kenalan, saya ucapkan berbanyak terimakasih atas sokongan dan segala bentuk bantuan yang dihulurkan semasa hayatnya. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya.- AlFatehah.

Saya mengenali Eliza pada Jun 14, 1996 semasa saya bertugas di Port Dickson, manakala beliau ketika itu terlibat secara sambilan dalam acara PD International Half Marathon. Beliau sebenarnya bertugas di MBf Finance Jalan Ampang pada ketika itu.

Dua tahun kemudian saya ditawarkan pekerjaan di Shah Alam dan kami melangsungkan perkahwinan pada Februari 8, 1998. Sudah tersurat perkahwinan kami selama 15 tahun kami tidak dikurniakan zuriat.

Ketika di Shah Alam, saya menyewa rumah di Seksyen 7, kadar sewaan pada ketika itu agak tinggi iaitu RM1200 sebulan. Setelah berkahwin, saya akur akan desakan hidup kerana gaji yang diterima pada ketika itu hanya 'cukup makan'. Kami pun mengambil keputusan untuk tinggal bersama keluarga Eliza di Kelana Jaya.

Saya kemudian ditawarkan pekerjaan dengan sedikit gaji tambahan di Sg Petani, Kedah. Setelah kami berbincang, saya meneruskan usaha untuk memantapkan ekonomi keluarga dengan berhijrah ke Kedah, manakala Eliza berkerja di Business Trend di Subang Jaya ( Business Trend kini adalah Kelly Services)

Sudah tentunya ada pasang surut dalam perkahwinan kami. Kami harungi dengan penuh tabah. Akhirnya pada bulan Januari 2001, setelah 2 tahun berkhidmat di Sg Petani kontrak perkhidmatan saya ditamatkan tanpa sebarang sebab. Saya pulang ke Kuala Lumpur tanpa memberitahu Eliza sebab musababnya.

Dua minggu kemudian, saya nyatakan perkara sebenar. Dia redha. Tapi, keredhaan pun ada tahapnya.Saya menganggur selama 20 bulan di rumah kami di Shah Alam. Kami cuba berpura pura seakan tiada apa yang terjadi, tapi hakikatnya ekonomi keluarga tersekat. Institusi kekeluargaan kami goyah.

Walau apapun, kami bertahan sehingga ke akhir hayat Eliza. Saya rasa bertuah kerana saya telah pun dijanjikan seorang isteri diakhirat nanti. Dia akan menunggu saya disana.

Perjalan terakhir ke Luar Negara - Bangkok April 2011

Pada awal April 2011, Eliza ke Bangkok dengan izin saya, tetapi pada hari Jumaat yang sepatutnya beliau pulang ke Malaysia saya telah mendapat panggilan telefon menyatakan beliau tidak sehat akibat diserang asthma. Saya terus menanti, akhirnya beliau pulang pada hari Ahad.

Setiba di LCCT, saya dapat lihat dengan jelas muka beliau yang pucat dan tak bermaya. Sangka saya hanya demam biasa. Saya terus bawa beliau pulang ke rumah di Kelana Jaya. Seperti biasa, saya akan ke pejabat di Melaka pada 6 pagi setiap Isnin dari Kelana Jaya. Keadaan nampak normal dan Eliza nampak sedikit ceria.

Malangnya pada malam Isnin, bapanya memaklumkan pada saya Eliza terpaksa dibawa ke hospital akibat sesak nafas. Seperti biasa kami semua menyangka Eliza diserang ashtma. Bermulalah episod duka kami pada pagi berikutnya apabila doktor memaklumkan yang Eliza menghidap leukimia tahap 3. Kami sekeluarga seperti diserang taufan tsunami. Semua tak percaya....

Bersambung...........

No comments:

Post a Comment